Menjejaki Sarawak…Bumi Kenyalang
Terasa belum puas rasanya hati menjelajah seluruh pelosok negeri Sarawak. Mana tidaknya, Perkampungan Budaya Sarawak dan tempat-tempat bersejarah yang ada di sana tak tercapai dek akal untuk diterokai. Walaupun lebih 4 hari menetap di Sarawak, belum tentu cukup untuk mengupas sejarah dan kebudayaan Sarawak ini. Bersama 25 pelajar dan 3 guru dari Sekolah Menengah Dunearn yang bertuah, kami ’berkampung di Four Point – Sheraton Hotel selama 4 hari 3 malam bermula pada 16 hingga 19 Mac 2010. Antara objektif utama lawatan ini adalah untuk mendedahkan pelajar-pelajar kepada aspek-aspek kebudayaan dan kesenian negara ASEAN khususnya negeri Sarawak selain daripada mengeratkan hubungan pelajar dan guru-guru dari Sekolah Menengah Dunearn dan guru-guru dari Universiti Lim Kok Wing.
16hb Mac 2010
Hari Pertama
Jam 6.30 pagi, 16 haribulan Mac 2010 kami berkumpul di Lapangan Terbang Changi untuk memulakan penerbangan bersama pesawat Silk Air. Tepat pukul 8.40 pagi pesawat kami bertolak. Kami tiba di destinasi kami selepas 1 jam 45 minit kemudian. Alangkah gembiranya apabila apabila kaki melangkah keluar dari Lapangan Terbang Kuching dan disambut meriah oleh pemandu pelancong, Encik David dan Encik Loo dari Agensi Bel-Air yang terus membawa kami ke destinasi pertama iaitu Four Points, Sheraton Hotel di mana kami menginap selama 3 malam 4 hari sepanjang lawatan kami di Sarawak.
Bumi Kenyalang yang terletak di bahagian Timur Malaysia itu mendapat banyak gelaran dan jolokan kerana keindahan semulajadi serta kemesraan mendampingi setiap kali pelawat tiba di situ. Negeri yang indah ini bukan sahaja menjadi tumpuan para pelancong biasa tetapi juga menjadi tumpuan mereka yang gemar kesenian kerana di Sarawak, terutamanya di Kuching mempunyai sejarah dan kesenian budaya yang sangat unik
Sebelum makan tengah hari, kami menurunkan bagasi di hotel lantas bergegas menuju ke Grand Malay Restaurant untuk menjamu selera masakan ala kampung yang terdiri dari ulam dan sayur-sayuran. Lazatnya tidak terhingga menjliat jari. Selepas makan tengah hari, kami dibawa melawat Muzium Sarawak, Muzium Kuching, Kilang Pasu Yong Huat dan Taman Sahabat. Malam itu, kami makan malam di Rock Seafood Restaurant. Selepas itu, bas membawa kami menuju ke Hotel Four Points Sheraton. Rasa sedikit terubat dan terpegun melihat keindahan hotel yang canggih ditambah pula segala macam perhiasan di dalamnya yang turut bermotifkan alam semula jadi. Jelas tergambar di raut wajah masing-masing suatu perasaan tidak sabar untuk merebahkan diri setelah penat melalui perjalanan menaiki pesawat dan bas berjam-jam lamanya.
17hb Mac 2010
Hari Kedua
Pada hari kedua, 17 Mac, selepas bersarapan pagi kami bertolak ke Universiti Teknologi Lim Kok Wing. Kedatangan kami ke Universiti Lim Kok Wing, Bali, telah disambut meriah oleh deretan mahasiswa Lim Kok Wing dan juga para pensyarah yang turut mengiringi kedatangan kami. Terharu kami dibuatnya kerana disambut sebegitu meriah persis para VIP.
Selepas majlis taklimat oleh pegawai pemasaran Lim Kok Wing, bermulalah sesi interaksi dan kenalsuai di antara pelajar-pelajar dan guru-guru. Kemudian, kami dibawa menjelajahi kampus Lim Kok Wing. Pertama sekali, kami dibawa melawat galeri lukisan yang sarat dengan karya kreatif mahasiswa di sana. Cukup kreatif dan memberikan kami sumber inspirasi. Kemudian kami dibawa untuk menyaksikan kelas lukisan, kelas animasi, dan sesi fotografi. Sesi ini amat menarik dan unik sekali. Setelah selesai kami dijemput ke dewan serbaguna untuk membuat persembahan Tarian Jegela dan Serampang 12. Respons daripada penonton cukup memberangsangkan dan kami diberikan tepukan gemuruh. Selepas membasahkan tekak kami pun dibawa melihat sekeliling universiti tersebut oleh mahasiswa universiti yang bertugas. Kami berpeluang bergambar dan beramah mesra. Sebelum berpisah, kami sempat merakamkan gambar kenangan bersama fasilitator dan para pensyarah Lim Kok Wing. Sungguh hiba rasa di hati apabila tiba masa untuk kami berpisah walaupun baru beberapa jam berkenalan.
Selepas melawat Universiti Lim Kok Wing, kami makan tengahari di Restoran Pan View Hotel sebelum bertolak ke Sarakraf Pavilion. Kami tiba di Sarakaf Pavilon tepat jam 2 petang. Suasana di sana sungguh tenteram dan nyaman. Di sana kami diajar cara-cara menganyam bakul, membuat kalung menggunakan manik-manik berwarna-warni, dan membakar lemang. Seronok sekali aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Sementara menunggu makan malam, kami singgah sebentar di Gedung Parkson untuk membeli-belah.Selepas membel-belah, kami pun pergi ke Restoran Waterfront untuk makan malam. Malang sekali niat kami untuk berkaraoke tidak kesampaian memandangkan kemudahan karaoke di sana rosak. Terpaksalah kami pulang ke Hotel Sheraton dengan perasaan hampa.
18 Mac 2010
Hari Ketiga
Hari ketiga program penyerapan budaya ini banyak dihabiskan untuk persiapan membuat persembahan tarian di Perkampungan Budaya Sarawak, selain mempelajari budaya dan adat orang Sarawak. Selepas bersarapan pagi, kami bertolak ke Perkampungan Budaya Sarawak untuk membuat persembahan. Tempat ini merupakan tempat yang digemari pelancong dan tempat yang mempamerkan budaya dan tradisi Sarawak. Memandangkan hujan turun renyai-renyai, perubahan rancangan telah dibuat. Kami terus menuju ke Panggung Persembahan untuk acara raptai tetapi sebelum itu kami diarahkan ke bilik persalinan untuk menyalin pakaian dan membuat persediaan. Jam 10.00 pagi kami diarahkan ke pentas untuk acara raptai. Sebelum itu kami diberi taklimat oleh pihak Pengurus Perkampungan Budaya. Setelah selesai raptai kami pergi ke belakang pentas untuk bersiap sedia.
Tepat pukul 11 pagi tirai persembahan budaya bermula. Persembahan yang berlangsung selama 1 jam itu dipenuhi dengan tarian-tarian etnik seperti Tarian Ngajat Lesung, Tarian Bidayuh’s Rajang Be’uh, Tarian Tolak Balak, Tarian Ulu’s Kanjet Ngeleput yang mencerminkan kebudayaan Sarawak. Tarian Ngajat Lesung merupakan yang rancak dan agresif di mana panglima Iban mendemonstrasikan kekuatannya yang luarbiasa mengangkat mortar seberat 20 kilogram. Benar-benar menakjubkan.Tarian Bidayuh’s Rajang Be’uh pula merupakan tarian yang dipersembahkan semasa menuai padi untuk menghiburkan tetamu yang menjejakkan kaki di Rumah Panjang. Pergerakan penari meniru pergerakan Si Helang yang mengibarkan sayapnya semasa membuat penerbangan. Tarian Tolak Bala pula diilhamkan bagi mendapatkan restu bagi mendapat hasil yang baik selain melindungi rakyat daripada pengaruh jahat. Tarian-tarian yang dipersembahan cukup menghiburkan. Apa yang paling mengagumkan saya ialah persembahan yang mencabar itu kelihatan mudah bagi mereka. Tarian Ulu’s Kanjet Ngeleput pula merupakan, tarian yang memaparkan ketangkasan panglima Orang Ulu semasa pemburuan binatang. Tarian ini saya anggap paling menarik dan sentiasa segar dalam ingatan kerana ia cukup realistik sehingga membuat penonton yang berada di barisan hadapan menjerit ketakutan. Kami ketawa terbahak-bahak dan tak kering gusi dibuatnya.
Acara kemuncak ialah persembahan Tari Jegela yang dipersembahkan oleh penari-penari sekolah kami. Ini merupakan peluang yang hanya diperolehi sekali dalam seumur hidup dan sesuai untuk dirakamkan buat gambar kenang-kenangan. Ternyata usaha kami berbaloi. Tarian Jegela yang dipersembahkan pada malam itu telah mendapat pujian daripada penonton yang berpusu-pusu datang untuk menyaksikan acara tersebut. Canggih! Best ! Inilah antara luahan penonton setelah persembahan kami berakhir. Di akhir persembahan kami diarahkan menjemput para penonton ke atas pentas untuk menari bersama penari-penari yang membuat persembahan. Guru-guru dan pelajar-pelajar juga ‘sporting’ belaka dan tidak ketinggalan untuk berjoget bersama dengan penari-penari di atas pentas. Selepas penat membuat persembahan, kami pun menjamu selera di sebuah restoran di perkampungan tersebut. Sambil menjamu selera kami menikmati keindahan alam semula jadi di perkampungan budaya itu.
Dikenali ramai dengan gelaran muzium hidup, perkampungan ini mempamerkan khazanah kebudayaan Sarawak. Dibina di kaki Gunong Santubong di kawasan seluas 6 hektar ia terletak 35 km dari Bandar Kucing dan tidak jauh dari Damai Holiday Inn, sebuah kawasan peranginan. Kampung Budaya Sarawak direka dengan tasik buatan manusia di tengah-tengah sambil dikelilingi 7 replika rumah etnik : Rumah Panjang Bidayuh, Rumah Panjang Iban, Gubuk Penan, Rumah Tinggi Melanau, Rumah Melayu dan Rumah Ladang Cina. Di setiap rumah dipamerkan barang-barang artifak yang dibuat oleh suku-suku kaum tersebut. Demonstrasi pembikinan kalong, ukiran bambu, tenunan kain dapat juga dilihat semasa menjelajahi perkampungan tersebut. Setelah selesai, kami pun menjamu selera di Restoran Grand Malay. Kami juga berpeluang mengenakan pakaian tradisi Sarawak dengan bayaran yang berpatutan. Apalagi, pelajar kami pun cubalah. Semasa menjelajah 7 replika rumah etnik kami berpeluang mempelajari joget lambak dan tarian buloh. Hasilnya, kami terasa seperti betul-betul seorang penari Sarawak. Tidak lupa juga perlawanan boling dengan menggunakan biji kelapa. Sungguh menyeronokkan dan terasa seperti berada di kampung apabila berada di sini.
19hb Mac 2010
Hari Keempat
Hari keempat pula kami pergi ke Pusat Liar Semenggoh. Pusat ini menawarkan pemandangan alam semula jadi yang indah. Di sini kami dapat menyaksikan gelagat orang utan yang mencuit hati. Selepas makan tengah hari kami pergi ke Kilang Kuih Lapis untuk berbelanja. Kami juga sempat singgah di Taman Sahabat yang bersejarah. Di sana terdapat air pancutan dan Tugu Lim Cheng Ho yang cukup menakjubkan. Kami juga berpeluang merakamkan gambar kenangan serta memberi makan kepada ikan-ikan kaloi dalam kolam yang jernih. Sebelum makan malam di Grand Malay Restaurant kami singgah di Parkson sekali lagi untuk membei-belah. Selepas itu kami pun menjamu selera di Restoran Cina. Selesai menjamu selera kami pun bergegas menaiki bas untuk ke Lapangan Terbang Kuching.
Tepat jam 9 malam, pesawat kami berlepas ke Singapura. Kami agak sedih meninggalkan negeri Sarawak dengan segala keajiban semulajadinya. Pun begitu, harapnya masih ada peluang lagi untuk kami ke sana. Setiap pengalaman yang dikutip di Sarawak memberikan kenangan yang penuh bererti untuk dikenang sampai bila-bila. Sungguh mudah untuk saya katakan bahawa inilah percutian yang paling menyeronokkan pernah saya alami. Syukur orang di Sarawak sungguh ramah dan mudah mesra. Di Sarawak kami mendapat bantuan pemandu pelancong, Encik David dan Encik Khalid dari EDN Media yang baik budi dan kaya dengan informasi. Mereka juga tidak segan untuk memberi tunjuk arah. Suatu hari nanti, pasti kami akan ke sini lagi.
Program penyerapan budaya ini jelas telah memberi kami semua peluang keemasan untuk mempelajari budaya serta adat istiadat negeri Sarawak. Ia juga mengeratkan lagi ikatan silaturrahim antara anggota Persatuan Budaya Melayu dan guru-guru pembimbing. Andainya diberi peluang kedua, saya yakin guru-guru dan para pelajar yang terlibat dalam program penyerapan ini pasti akan pergi sekali lagi ke Sarawak, bumi Kenyalang.
Thursday, October 21, 2010
Sarawak Cultural Immersion Trip 2010
25 Malay Cultural Society members and 3 teachers Secondary Two Express and Normal Academic Malay students went for an Educational and Cultural Immersion trip to Kuching, Sarawak for 4 days and 3 nights from 16th March till 19th March 2010. At Sarawak, we visited many interesting places such as the Sarawak Museum, Sarawak Cultural Village, Cat Museum, Waterfront and the Ana Rais Longhouse. While at the Sarawak Cultural Village, students were captivated by how people from the past decades built their houses using bamboo and ropes. We learnt that in Sarawak there are many different cultures such as Bidayuh, Iban, Penan, Melanau, Orang Ulu, Malays, Chinese and others. Each of this culture has their own way of living. Overall, we enjoyed our trip to Sarawak and learnt that people from different tribes have different cultures and practices. The trip was enjoyable, memorable and educational for both students and teachers. We hoped that we can go for another educational and enjoyable trip like this one.
Subscribe to:
Posts (Atom)